KOM mahu elak insiden Irfan berulang

Oleh Penulis Jemputan 16 Disember 2019 3883
KOM mahu elak insiden Irfan berulang
Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) tidak akan melayan atlet yang merancang program latihan luar negara secara sendirian bagi mengelak insiden rasa tidak puas hati seperti jaguh lempar cakera, Muhammad Irfan Shamsuddin.

"Saya banyak mengeluarkan perbelanjaan sendiri untuk mendapatkan jurulatih. Saya masih lagi menunggu pihak Majlis Sukan Negara (MSN) untuk membayar baki wang kepada saya, namun tidak tahu bila ia akan dilunaskan," kata Irfan dalam laporan Nadi Arena, 10 Disember lalu.

Komen Irfan itu, yang dibuatnya selepas menang pingat emas Sukan SEA Ke-30, mengundang rasa tidak puas hati banyak pihak, antaranya Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Majlis Sukan Negara (MSN) yang sudah mengeluarkan kos RM125,000 untuk atlet itu berlatih di Eropah tahun ini.

Kos itu adalah atas permohonan Irfan sendiri, namun selepas ini semua atlet perlu mengikut prosedur yang betul.

"Jika ada perancangan yang betul dan diperlukan atlet tersebut, ia tidak seharusnya mengundang sebarang masalah.

"Tetapi jika perancangan dikeluarkan secara tiba-tiba, sudah pasti kita akan berbincang terlebih dahulu untuk menghantar atlet tersebut berlatih ke luar negara atau sebaliknya," kata ketua jurulatih skuad olahraga negara, Manshahar Abdul Jalil.

Atlet atau jurulatih wajib menghantar perancangan mereka kepada KOM sebelum dibawa ke mesyuarat jawatankuasa kerja dengan Majlis Sukan Negara (MSN) untuk mendapat kelulusan.

Proses itu dilalui jaguh utama seperti Lee Hup Wei dan Nauraj Singh (lompat tinggi), Mohd Hakimi Ismail (lompat kijang) dan Jackie Wong (baling tukul besi).

"Perancangan selepas ini akan menjadi lebih tersusun untuk tahun depan."

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen