Impian atlet lompat tinggi negara, Lee Hup Wei, untuk ke Sukan Komanwel Gold Coast 2018 tercapai apabila dia berada dalam senarai 12 nama yang telah dihantar kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Hup Wei sememangnya berada dalam senarai awal 13 nama atlet, di mana hanya 12 dimuktamadkan untuk menggalas cabaran di Gold Coast, 4-15 April depan.

Kini, dia mampu untuk menarik nafas lega kerana tidak diketepikan oleh Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) selepas gusar sekiranya tidak terpilih.

Bagaimanapun, KOM masih lagi berusaha untuk membuat rayuan kepada MOM bagi menyenaraikan atlet ke-13 untuk tetap beraksi dalam Sukan Komanwel.

“Kami sudah berikan senarai mengikut kedudukan dan ia seramai 13 atlet tetapi MOM menyediakan sebanyak 12 slot, jadi kami cuba membuat rayuan,” kata Presiden KOM, Datuk Karim Ibrahim.

Karim ditemui dalam mesyuarat jawatankuasa kerja olahraga bersama-sama Ketua Pengarah, Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail, hari ini yang turut membincangkan cadangan KOM bagi membawa jurulatih pecut dan jarak jauh dari luar negara dalam masa terdekat.

“Kami cuba meneliti semula jurulatih luar yang mampu membantu kami. Dalam Sukan SEA sebelum ini, kami telah mengemukakan cadangan dan ia telah terbukti berkesan,” katanya.