Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) kecewa dengan tindakan atlet lempar cakera negara, Muhammad Irfan Shamsuddin, yang menafikan bantuan beberapa pihak, termasuk Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abd Rahman, selepas meraih pingat emas Sukan SEA Filipina minggu lalu.

Atlet berumur 24 tahun itu melahirkan penghargaannya terhadap individu yang banyak membantunya, iaitu Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

Hakikatnya ialah Majlis Sukan Negara (MSN) sudah mengeluarkan belanja sebanyak RM125,000 yang membabitkan dua fasa latihannya di Republik Czech.

Keistimewaan itu, bagaimanapun, tidak dinikmati atlet olahraga lain seperti Lee Hup Wei, Hakimi Ismail dan Yap Sean Yee yang juga memiliki reputasi besar dalam temasya dwitahunan berkenaan.

KOM, yang akan membincangkan langkah-langkah bagi menempuhi musim 2020 dalam tempoh beberapa hari lagi, akan turut membangkitkan isu yang ditimbulkan atlet dari Negeri Sembilan tersebut.

Ia dalam menentukan sama ada atlet olahraga dibenarkan untuk membentangkan sendiri kos latihan di luar negara atau perlu melalui saluran sebenar, iaitu dengan KOM, untuk dihantar kepada Mesyuarat Jawatankuasa Kerja bersama MSN.

Ikuti perkembangan lanjut dalam Nadi Arena jam 7.30 dan 11 malam ini