Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) memberi bayangan jurulatih dari Amerika Syarikat (AS), David Patrick, bakal menjadi pilihan untuk membimbing barisan atlet pecut dan lari berpagar negara bermula tahun depan.

Patrick menepati ciri-ciri yang dimaksudkan oleh Presiden KOM, Datuk Karim Ibrahim, yang memberi bayangan jurulatih dari Amerika Syarikat itu adalah bekas pelari yang pernah beraksi dalam aksi final 400 meter lari berpagar Sukan Olimpik 1992.

Pemenang pingat emas Piala Dunia di Barcelona pada 1989 itu selain turut mempunyai pengalaman dalam kejurulatihan selama 16 tahun, jurulatih berusia 58 tahun ini dilihat sebagai individu berpotensi besar untuk mengemudi barisan pecut dan lari berpagar negara tahun depan.

Cadangan itu telah pun mendapat persetujuan daripada Majlis Sukan Negara (MSN) dan kini hanya menanti kata putus daripada Patrick dalam masa terdekat.

"Saya berasakan Patrick adalah seorang yang berpotensi untuk meningkatkan mutu sukan olahraga Malaysia," kata Karim.

Selain itu, beliau menggesa mereka yang tidak dipilih dalam senarai 30 atlet bagi program latihan tahun depan agar menyertai Kejohanan Olahraga Kebangsaan 2019 pada Mac andai ingin merebut peluang diserap dalam program latihan baru berkenaan.

"Buat mereka yang tidak berada dalam pasukan, Kejohanan Kebangsaan menjadi pentas untuk merebut peluang berada dalam program KOM," ujarnya.