Itu pandangan Penolong Setiausaha Agung, Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Sieh Kok Chi, terhadap pengganti Tunku Imran Tuanku Ja'afar menjelang Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) badan induk itu pada Jun tahun depan.

Kok Chi mendakwa MOM kini sedikit terkeluar daripada landasan sepatutnya untuk memayungi persatuan sukan kebangsaan dan perkara itu berlaku disebabkan kewujudan beberapa kem dalam MOM, sekaligus menyukarkan usaha untuk membuat keputusan terbaik.

Beliau yang berkongsi pendirian bersama Tunku Imran untuk tidak mempertahankan jawatan ekoran faktor usia, berharap presiden baru nanti mampu memperbaiki keadaan.

"Terdapat beberapa program yang telah dilakukan kira-kira 20 atau 10 tahun lalu yang telah digugurkan dan saya sendiri tidak tahu apa sebabnya.

"Kadangkala ada pihak yang menyifatkan saya perlu bertanggungjawab dengan situasi yang berlaku tetapi ia bukan daripada saya, sebaliknya pihak tertinggi yang perlu berdepan dengan masalah tersebut," katanya.

Kok Chi merujuk situasi MOM seperti Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) yang bergelut untuk mewujudkan program terbaik bagi acara renang, selepas hanya tiga perenang negara terpilih mengibarkan cabaran negara dalam Sukan Komanwel dan Sukan Asia tahun depan, membuktikan bahawa rombakan perlu dilakukan.

"Malaysia benar-benar mempunyai barisan perenang muda yang berpotensi besar dan beberapa bekas perenang seperti Nurul Huda Abdullah dan Jeffrey Ong menyuarakan hasrat untuk membantu.

"Persoalannya, bagaimana harus kita lakukan untuk menggunakan kesempatan tersebut? Ia menjadi sukar untuk mendekati pihak persatuan kerana terdapat banyak kekangan yang ketat buat golongan baru yang mahu turut serta," tambahnya.