Kok Chi beri cadangan buat ASUM

Oleh Penulis Jemputan 13 Oktober 2017 140
Kok Chi beri cadangan buat ASUM
Penolong Setiausaha Agung, Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Sieh Kok Chi, mencadangkan agar Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) mewujudkan empat jawatankuasa bagi mengendalikan acara renang, terjun, renang berirama dan polo air sebagai usaha untuk mengurangkan beban tugas badan induk itu.

Bagaimana sebuah persatuan sukan kebangsaan mampu mengendalikan empat jenis sukan berbeza dalam satu masa telah menimbulkan persoalan besar ASUM ditimpa kontroversi membabitkan isu doping dan rogol skuad terjun negara.

Justeru, ASUM seharusnya memikirkan cara untuk mengurangkan beban tugas, apatah lagi badan induk itu kini mempunyai kakitangan kurang daripada 10 orang.

"Sebagai contoh, sukan polo air. Ia tidak mempunyai apa-apa hubungan langsung dengan renang kerana renang seperti olahraga dan polo air diibaratkan bola keranjang atau bola sepak. Jadi, mengapa kedua-duanya digabungkan di bawah satu presiden dan satu setiausaha?

"Ini adalah satu konsep ASUM yang sukar untuk difahami," katanya.

Kok Chi pernah menjadi Setiausaha Kehormat ASUM selama tujuh tahun sejak 1975 dan sepanjang tempoh tersebut, dia sukar untuk memberikan hasil yang maksimum dalam keempat-empat jenis acara disebabkan kekurangan kakitangan.

Dakwaannya itu dilihat sesuatu yang masuk akal kerana sejak sedekad lalu, pencapaian skuad terjun dan renang jauh mengatasi polo air serta renang berirama.

ASUM ketika ini diterajui oleh presiden, Datuk Seri Shahidan Kassim, dengan Mae Chen menguruskan tugas harian sebagai setiausaha kehormat.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen