Sandaran utama negara, Gavin Kyle Green, mempunyai tonik terbaik untuk menghadapi saingan Jelajah PGA keempat dalam kariernya menjelang Kejohanan Golf Klasik CIMB 2017 di laman sendiri, Khamis depan.

Gavin berjaya meraih kejayaan sulungnya dalam Jelajah Asia dengan memenangi Kejohanan Taiwan Masters, Isnin lalu.

Dia merupakan pemain kelima dari Malaysia yang pernah menjuarai kejohanan di peringkat Jelajah Asia selepas Danny Chia, Nicholas Fung, Beng Leong dan Airil Rizman.

Lebih-lebih lagi, dia melakukannya selepas mendapat perkhabaran sedih atas pemergian mendiang datuknya, Gerald Green.

Gavin mengakui dia masih dalam keadaan bagus dan sudah bersedia untuk mengharumkan nama Malaysia dalam saingan Klasik CIMB di TPC Kuala Lumpur, Bukit Kiara.

"Ia kemenangan besar dalam siri pertandingan penting ini.

"Datuk sentiasa berada di sisi saya dan mahu melihat saya meraih kejayaan dalam kejohanan besar," katanya.

Klasik CIMB 2017 merupakan saingan keempat peringkat Jelajah PGA yang telah disertai Gavin sepanjang bergelar pemain golf profesional sejak dua tahun lalu.

Penampilan sulungnya dalam saingan Klasik CIMB tahun lalu menyaksikan Gavin sekadar menghabiskan saingan di tempat ke-69 dengan berkongsi kedudukan bersama pemain dari Taiwan, Chan Shing Chih.

"Sudah tentu saya ingin meningkatkan prestasi dan beraksi baik.

"Saya perlu menenangkan fikiran dengan berjauhan dengan sukan golf ketika hari kejohanan semakin dekat. Bermain di tempat sendiri pasti menghadirkan tekanan tinggi."