Perebutan kejuaraan bola keranjang Piala Agong bagi saingan wanita menyaksikan Kuala Lumpur mempamerkan kejutan apabila menewaskan juara bertahan, Selangor, 59-57.

Pertembungan di Gem In Mall, Cyberjaya, itu ibarat ulangan final musim lalu dengan kedua-dua pasukan mempunyai motivasi tinggi untuk memastikan gelaran.

Malah, pendekatan Kuala Lumpur memperkasakan skuad mereka susulan kegagalan edisi lalu berusaha untuk mengelak daripada kekecewaan yang sama berlaku.

Aksi agresif pada dua suku pertama menjamin kelebihan buat Kuala Lumpur untuk memimpin separuh masa pertama dengan kedudukan 38-24.

Drama sebenar perlawanan bermula pada suku ketika ketika Selangor kembali menawarkan tekanan.

Enam mata membezakan kedua-dua pasukan ini pada permulaan suku terakhir, namun kekentalan pertahanan Kuala Lumpur menghadiahkan mereka kemenangan 59-57.

"Ini merupakan perlawanan yang sangat baik buat KL, banyak perkara yang berlaku sebelum perlawanan ini bermula. Kami kekurangan beberapa pemain utama tetapi berjaya mencipta kemenangan," kata ketua jurulatih KL, Looi Seng Loon.

"Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada setiap pemain yang mempamerkan aksi terbaik, tidak terlupa kepada persatuan serta penyokong-penyokong KL."

Bagi saingan akhir lelaki, Negeri Sembilan memastikan gelaran juara milik mereka buat kali ketiga berturut-turut selepas menafikan cabaran sengit Melaka.

Negeri Sembilan menghadapi kesukaran pada awal permainan apabila Melaka mempamerkan penguasaan dan ketinggalan tiga mata.

Melaka terus mengekalkan rentak permainan pantas dan agresif, sekaligus memberikan tekanan hingga tamat separuh masa pertama 27-35.

Pengendali Negeri Sembilan, Brian Lester, bijak mengenal pasti kelemahan pasukannya dengan memberikan taktikal baru, sekaligus berjaya bangkit.

Momentum tersebut dikekalkan Negeri Sembilan pada suku akhir sebelum memastikan kemenangan ketiga berturut-turut dengan keputusan 78-64.