Kisah Fakhrul tarik perhatian beberapa pihak

Oleh Muzaffar Musa 9 April 2020 516
Kisah Fakhrul tarik perhatian beberapa pihak
Berita baik buat atlet angkat berat pelapis Perlis, Fakhrul Najmi Mohd Fisol, apabila kisahnya yang menggunakan besi buruk untuk berlatih sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) seperti yang dilaporkan Nadi Arena semalam mendapat perhatian beberapa pihak untuk tampil memberikan sumbangan. 

Kisah Fakhrul Najmi, 15, dan adiknya, Nazrul Hisham,  yang berlatih menggunakan besi buruk di Kangar, Perlis mendapat perhatian beberapa pihak.

Mereka tampil menghulurkan sumbangan berupa wang tunai dan bekalan makanan bagi menghargai semangat juang atlet angkat berat pelapis Perlis itu.

Ia juga sebagai dorongan untuk Fakhrul Najmi menggapai impiannya beraksi dalam Sukan Malaysia (Sukma) dan seterusnya mewakili negara.

Apatah lagi dengan keadaan bapanya yang tidak dapat bekerja sebagai mekanik sepanjang PKP.

Jurulatih skuad angkat berat Perlis, Mohd Hanie Musa, menerusi satu perbualan video bersama wartawan Bazly Azmi berkata: "Fakhrul seorang atlet yang menunjukkan minat mendalam terhadap sukan angkat berat.

"Saya juga berbangga dengan kreativiti yang ditunjukkan oleh Fakhrul sewaktu beliau berlatih angkat berat dengan menggunakan rim (motosikal) ketika PKP.

"Saya berharap agar usahanya dalam sukan angkat berat akan berterusan sehingga beliau berjaya," katanya.

Fakhrul Najmi, dalam pada itu berkata: "Saya bersyukur kepada Allah kerana Persatuan Angkat Berat Perlis, Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) dan sebuah syarikat telah menghulurkan bantuan untuk mengurangkan beban keluarga saya."

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen