Atlet lompat kijang wanita, R. Kirthana, akur andai rezekinya beralih kepada kategori para ekoran kondisi matanya yang mengalami masalah rabun yang serius sejak empat tahun lalu sehingga mengganggu sesi latihannya.

Masalah rabun yang dialami atlet ini memaksa dia membuat pemeriksaan lebih lanjut memandangkan dalam tempoh empat tahun lalu, keadaan penglihatannya semakin serius.

Jika masalah ini berterusan, Kirthana nampaknya akur sekiranya masalah matanya itu melayakkannya beraksi sebagai atlet para, namun segala-galanya bergantung kepada pemeriksaan doktor pakar yang akan dibuat dalam masa terdekat.

"Saya tidak kisah untuk beraksi dalam kategori apa sekalipun, saya hanya mahu beraksi. Ia adalah minat saya," katanya.

Walaupun itu bukan pilihan terbaik, atlet kelahiran Perak ini tetap mahu mencari penyelesaian dengan keutamaan memulihkan penglihatannya terlebih dahulu.

Masalah rabun yang dialami Kirthana semakin ketara sehingga tahap kanta lekap yang sepatut dipakainya ketika ini tiada dalam pasaran.

Dengan keadaan yang semakin melarat, ia ternyata mengganggu tumpuannya dalam dalam sesi latihan.

"Penglihatan saya tiba-tiba kabur dan saya tidak dapat menjangkakan perkara ini berlaku. Saya berharap masalah ini dapat diselesaikan," ujarnya.