Penangguhan Sukan Olimpik Tokyo 2020 telah menjejaskan persediaan ramai atlet di seluruh dunia tetapi ia merupakan rahmat tidak terduga buat beberapa nama seperti S. Prem Kumar.

Atlet karate berusia 26 tahun itu hanya dimaklumkan Januari lalu untuk bersedia menghadapi kejohanan kelayakan Sukan Olimpik yang dijadual di Paris, Mei ini, di mana dia disyaratkan menambah berat badan sebanyak 12 kilogram (kg) dalam tempoh tiga bulan.

Susulan penangguhan temasya Olimpik Tokyo dari Julai tahun ini hingga tahun depan akibat pandemik COVID-19, atlet dari Segambut, Kuala Lumpur, itu kini mempunyai masa lebih setahun untuk meningkatkan berat badan supaya dapat bersaing dalam acara kumite bawah 67kg berbanding kategori 55kg sebelum ini.

Bagaimanapun, Prem Kumar perlu menambah berat badan kira-kira lapan kg dalam tempoh beberapa bulan akan datang bagi membolehkan dia mencabar pesaing yang lebih berpengalaman dalam sesi kelayakan baru dan kejohanan yang bakal diumumkan oleh Persekutuan Karate Dunia (WKF).

"Secara tiba-tiba, saya dipilih pada Januari dan terpaksa menaikkan berat badan dalam tempoh yang singkat tetapi penangguhan Sukan Olimpik memberikan saya lebih banyak masa untuk membuat persediaan. Saya sekurang-kurangnya perlu mempunyai berat badan sebanyak 64kg supaya dapat bertarung dalam kategori 67kg.

"Walaupu saya mengambil masa empat bulan lagi untuk mendapatkan berat badan yang ideal, saya masih mempunyai masa tujuh bulan lagi untuk menyesuaikan diri. Saya akan terus berusaha gigih untuk mencapai impian beraksi dalam Sukan Olimpik,” kata pemegang pingat gangsa Sukan Asia 2018 kepada Bernama, baru-baru ini.

Prem Kumar, dengan rakan sepasukan, R. Sharmendran (pemenang emas Sukan SEA 2019), terpaksa memendekkan sesi latihan khas di bawah program ‘Road To Tokyo 2020’ di Eropah di bawah bekas jurulatih negara, Andris Vasiljevs, susulan penularan wabak COVID-19.

Walaupun risiko jangkitan di Latvia agak minimum dengan hanya satu kes positif dilaporkan, namun Prem Kumar berkata mereka mengambil keputusan untuk pulang bagi mengurangkan risiko semasa perjalanan ke pertandingan di benua Eropah.

Dia mengakui sukar untuk mengekalkan kecergasan semasa tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilanjutkan sehingga 14 April ini.

"Walaupun duduk di dalam rumah, rutin saya sama seperti di kem latihan tetapi cuma dapat meluangkan lebih banyak masa bersama keluarga. Pada hari biasa, saya memulakan dengan latihan kardio selama 20 minit sebelum sarapan diikuti latihan berat pada tengah hari dan latihan kemahiran pada sebelah petang.

"Ia tidak cukup kerana tiada latihan di luar untuk kecergasan dan sesi tertutup melakukan ‘sparring’ dengan rakan sepasukan.

"Apabila melakukan latihan secara bersendirian, kami berasa semuanya sempurna dan berada dalam zon selesa tanpa mendapatkan tekanan.

"Tetapi apabila berlatih dengan jurulatih, keadaan berbeza kerana dipaksa untuk mencapai tahap sebenar kami serta memperbetulkan kesilapan," katanya.

-- BERNAMA