Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail, berharap agar jurulatih terjun negara, Yang Zhuliang, masih boleh menimbang tawaran yang dikemukakan MSN untuk membimbing skuad pembangunan terjun negara.

Shapawi adalah antara individu yang terbabit membawa jurulatih dari China itu ke Malaysia pada 2001.

Mempunyai hubungan yang akrab, beliau telah pun berhubung dengan Zhuliang bagi memujuknya untuk terus berkhidmat di Malaysia sebagai jurulatih skuad pembangunan.

Biarpun Zhuliang dikatakan sudah tawar hati, Shapawi masih berharap agar jurulatih berusia 53 tahun itu mampu menimbang tawaran yang diberikan.

"Kami ada juga berjumpa dengan Zhuliang dan menawarkan beliau untuk terlibat dalam pembangunan.

"Ia terpulang kepada beliau kalau masih lagi berminat untuk bersama negara kita," kata Shapawi ketika ditemui di pejabatnya di MSN Bukit Jalil, hari ini.

Beliau juga menjelaskan pihak MSN tidak mempunyai kuasa untuk menentukan siapa jurulatih baru untuk skuad elit terjun kebangsaan.

Katanya, ini kerana skuad terjun adalah di bawah Program Podium, justeru hanya pihak program itu dan Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) yang boleh memberi kata putus siapa yang akan membimbing skuad kebangsaan.

"Ini adalah melibatkan Program Podium dan ASUM. Jadi, mereka sendiri yang membuat penilaian. Ini adalah tanggungjawab mereka," ujarnya.