Di sebalik prestasi hambar skuad menembak negara tahun ini, ketua jurulatih menembak negara, Park Sang Soon, akhirnya lega apabila kontraknya disambung selama setahun dengan misi kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020, tahun depan.

Kedudukan jurulatih dari Korea Selatan itu dilihat tergugat selepas penembak negara gagal mempamerkan aksi cemerlang dalam Sukan Komanwel dan Sukan Asia 2018.

Namun, dengan kepercayaan yang masih disandarkan, Sang Soon enggan mensia-siakan peluang apabila dia mahu prestasi hambar tahun ini dijadikan pengajaran berguna untuk terus bangkit dalam misi layak ke temasya Tokyo 2020.

Johnathan Wong, Alia Sazana Azahari dan Nur Izazi Rosli adalah antara yang dilihat berupaya mencipta kejutan tahun depan.

"Kontrak saya akan berakhir pada Oktober tahun depan, bagaimanapun saya yakin dapat mempersiapkan penembak untuk mencipta kejutan," katanya.

Penembak negara bakal berdepan empat siri Piala Dunia yang bermula di India pada Februari tahun depan manakala peluang lebih cerah untuk meraih slot ke Sukan Olimpik adalah menerusi Kejohanan Menembak Asia di Doha, Qatar, pada November 2019.

"Selepas MSN melanjutkan kontrak Sang Soon, tahun 2019 merupakan tahun penting untuk sukan menembak kerana kelayakan Sukan Olimpik akan bermula," ujar ketua jurulatih rifle, Sabki Mohd Din.