Pengerusi Institut Sukan Negara (ISN), Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi, ditamatkan perkhidmatan berkuatkuasa serta-merta selepas lebih setahun memegang jawatan itu sejak Mei 2017.

Azim dilaporkan telah menerima surat penamatan perkhidmatannya hari ini dan perlu meninggalkan ISN serta-merta.

Menurut Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Lokman Hakim Ali, penamatan itu dilakukan selaras dengan saranan kerajaan untuk menamatkan khidmat pegawai kontrak melalui lantikan politik.

Bagaimanapun, kedudukan Azim selaku ketua kontinjen Malaysia ke Sukan Asia 20198 masih kekal di atas kapasitinya selaku timbalan presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Sebelum ini, beliau dilantik sebagai pengerusi ISN untuk menggantikan Datuk Seri Norza Zakaria pada Mei tahun lalu, iaitu tiga bulan sebelum berlangsungnya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Sementara itu, tiada perubahan bagi kedudukan pengurusan tertinggi Majlis Sukan Negara (MSN) dan difahamkan Azim dan juga beberapa ahli lembaga ISN telah menerima surat ucapan terima kasih daripada Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.