Jurulatih memanah recurve negara, Wan Mohd Khalmizan Wan Abd Aziz, menganggap ia satu kerugian apabila sukan ini tidak dipertandingkan dalam Sukan Komanwel Gold Coast 2018 kerana Malaysia mempunyai potensi untuk meraih pingat.

Ketika beberapa sukan lain boleh merencana program latihan untuk ke Gold Coast dalam tempoh enam bulan lagi, lain pula kisahnya buat sukan memanah.

Ini kerana Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) telah memuktamadkan 18 jenis sukan, dengan memanah tidak disenaraikan buat kali kedua berturut-turut selepas edisi 2014 di Glasgow.

Malah, acara ini hanya dipertandingkan sebanyak dua kali dalam sejarah penganjuran Sukan Komanwel, iaitu 1982 Brisbane serta New Delhi 2010.

Malaysia berjaya meraih satu pingat perak di New Delhi menerusi acara recurve lelaki berpasukan yang diwakili Muhammad Izzuddin Abdul Rahim, Cheng Chu Sian dan Arif Farhan Ibrahim Putra.

“Kami telah terlepas satu sukan untuk meraih pingat dalam Sukan Komanwel. Bagaimanapun, ia adalah keputusan CGF dan kami perlu memberikan tumpuan bagi saingan Sukan Asia,” kata Khalmizan.

Dalam pada itu, Khalmizan menaruh keyakinan barisan pemanah negara mampu mempamerkan persembahan lebih baik dalam Kejohanan Dunia di Mexico City yang akan bermula 15
Oktober ini.

Taruhan terbaik buruan pingat pastinya bagi acara berpasukan recurve lelaki diketuai Khairul Anuar Mohamad yang ketika ini menjalani latihan di Korea Selatan.

“Kejohanan Dunia dan Kejohanan Asia akan kembali menjadi sasaran kami untuk memberikan keputusan. Kedudukan saingan sangat penting kerana membariskan atlet-atlet yang terbaik.”

Sukan Komanwel akan berlangsung dari 4 hingga 15 April di Gold Coast, Australia.