Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, tetap optimis bahawa Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur akan berlangsung dengan jayanya walaupun Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, hanya meluluskan peruntukan sebanyak RM450 juta untuk menganjurkan temasya itu.

Khairy sebelum ini memohon peruntukan belanjawan sebanyak RM500 juta untuk penganjuran Sukan SEA Kuala Lumpur.

Namun, Khairy menerima keputusan Perdana Menteri dan memberi jaminan pengurangan peruntukan tidak akan menjejaskan penganjuran temasya dwitahunan itu.

"Saya yakin kita dapat membuat penganjuran terbaik dalam sejarah Sukan SEA.

"Tetapi saya perlu memotong beberapa peruntukan lain kerana saya memahami kerajaan pada hari ini juga tertekan dari segi sumber pendapatan.

"Jadi, kami juga perlu memainkan peranan kami," ujar Khairy.

Najib ketika mengumumkan belanjawan negara semalam, mengumumkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM1.2 bilion buat Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang turut merangkumi pembinaan dan menaik taraf prasarana sukan, Program Podium, program penyediaan atlet normal dan Paralimpik serta pembinaan Akademi Bola Sepak Fasa II di Gambang, Pahang.

Dalam pada itu, Khairy yang ditemui ketika melancarkan Program Pembangunan Ragbi Negara (NRDP) hari ini, turut mengumumkan peruntukan awal sebanyak RM2 juta bagi menjayakan program itu.

Objektif utama NRDP ialah untuk membolehkan Malaysia menjadi negara ragbi utama Asia dalam tempoh lima tahun.

"Program seperti NRDP adalah sama seperti NFDP (Program Pembangunan Bola Sepak Negara). Kebanyakan perbelanjaan ini dapat ditampung oleh kementerian-kementerian.

"Kami bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia seperti kemudahan padang.

"Kos melibatkan elaun dan pertandingan, itu semua kami akan kaji dengan sebaik-baiknya," jelas Khairy lagi.