Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, tiada masalah untuk membantu bekas atlet bina badan negara, Sazali Samad, yang mahu mengurangkan hukuman penggantungan selama empat tahun yang dikenakan terhadapnya ekoran positif doping, namun, harus mengikuti saluran undang-undang.

Khairy mengakui tidak keberatan untuk membantu Sazali selepas disarankan oleh Persatuan Bina Badan dan Angkat Berat Johor untuk meminta surat sokongan daripada pihaknya mengenai rayuan kes doping.

Bagaimanapun, beliau memberi peringatan segala-galanya masih tertakluk kepada bidang kuasa Persekutuan Bina Badan Malaysia (MBBF) untuk mengurangkan hukuman penggantungan Sazali.

"Dia boleh buat rayuan, tapi (keputusan itu nanti) bukan terletak di tangan saya.

"Rayuan itu mesti dibuat kepada persatuan sukan yang berkenaan. Saya sokong mana-mana atlet membuat rayuan dan diberikan peluang untuk membuat rayuan.

"Tapi dari segi keputusannya, itu adalah persatuan itu sendiri, bukan keputusan saya," jelas Khairy tyang mengesahkan penyertaan lebih 7.6 juta rakyat Malaysia dalam lebih 26,000 program Hari Sukan Negara.

Sementara itu, Khairy mengarahkan Pesuruhjaya Sukan, Datuk Zaiton Othman, agar membuat siasatan terhadap Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), mengenai isu bidaan tuan rumah Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) 2018.

Tambahnya, PKBM wajar mendapat kelulusan daripada kementeriannya berdasarkan Seksyen 33, Akta Pembangunan Sukan.

"Tiada seorang pun yang boleh membuat tawaran untuk menjadi tuan rumah bagi apa-apa pertandingan atau acara antarabangsa di Malaysia tanpa kelulusan kementerian terlebih dahulu.

"Setakat ini, saya belum memberi apa-apa kelulusan kepada PKBM."