Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, mengumumkan sasaran 10 juta peserta untuk Hari Sukan Negara tahun depan selepas berjaya mengumpul tujuh juta rakyat Malaysia untuk mengambil bahagian pada edisi kali ini.

Kementerian Belia dan Sukan berjaya mencapai sasaran itu apabila tujuh juta rakyat Malaysia melakukan aktiviti riadah pada Hari Sukan Negara 2016.

Jumlah itu turut membabitkan 103 kedutaan Malaysia di luar negara, sekali gus peningkatan mendadak berbanding 5.1 juta rakyat yang mengambil bahagian, tahun lalu.

Malah, angka itu dijangka terus meningkat kerana masih banyak program dijalankan di seluruh negara pada Ahad.

"Saya rasa kami perlu sasarkan penyertaan 10 juta rakyat Malaysia tahun depan. Saya berpendapat sasaran itu mampu tercapai kerana Hari Sukan Negara akan disambut selepas Sukan SEA.

"Jika Malaysia berjaya muncul juara keseluruhan, sambutan Hari Sukan Negara akan menjadi lebih meriah," katanya.

Ini bermakna 20 peratus daripada populasi rakyat Malaysia mengambil bahagian pada Ahad.

Ia petanda positif untuk Malaysia mencapai status negara bersukan seperti Australia, Jepun dan United Kingdom.

Sementara itu, Khairy turut lega apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, membayangkan jumlah besar untuk sektor sukan dalam pembentangan Bajet 2018, hujung bulan ini.

"Untuk sukan, kami perlukan peruntukan yang cukup, terutama buat Program Podium, kerana itu merupakan projek jangka panjang bagi menghadapi Sukan Olimpik Tokyo 2020.

"Kami juga perlukan peruntukan yang cukup untuk program Kita Juara kerana ini merupakan persiapan untuk temasya Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN 2017," tambahnya.