Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, masih mempertikaikan ketetapan Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM) yang mengekalkan hukuman penggantungan dua tahun ke atas atlet mereka yang positif doping, Constantine Clement dan Nasir Roslan.

Ketetapan PABM yang mengekalkan hukuman itu mencetuskan pertikaian Khairy, yang menerima maklum balas daripada Agensi Anti Doping Malaysia (ADAMAS) bahawa tiada hujah tepat atau alasan yang diberikan oleh PABM berhubung keputusan mereka.

"Bagi saya, mereka harus mengikut segala keputusan yang telah ditetapkan oleh WADA sebagai badan antarabangsa yang menyelia anti-doping," jelas Khairy.

Constantine dan Nasir dikesan positif steroid ketika menjalani kem latihan skuad negara di China pada April lalu.

Semalam, PABM mengesahkan penggantungan dua tahun ke atas Constantine dan Nasir dikekalkan dan hanya menunggu maklum balas daripada Agensi Anti Doping Dunia (WADA).

"Sepatutnya mereka mengikut tahap yang ditetapkan oleh WADA, iaitu empat tahun. Tetapi mereka mengenakan hukuman dua tahun sahaja.

"Semua maklumat telah disampaikan kepada Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa (IWF) dan kami menyerahkan semuanya kepada mereka.

"Sudah pasti WADA juga akan meminta penjelasan daripada IWF dan tindakan selanjutnya adalah di pihak mereka," tambah Khairy.

Khairy di temui ketika majlis menandatangani memorandum persefahaman (MOU) yang melibatkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Dorsett Hospitality International.