Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, mahu meneliti segala aspek terlebih dahulu bagi melihat kemampuan Malaysia sebelum menentukan sama ada akan membida hak penganjuran Sukan Komanwel 2022.

Aspek yang ditekankan semestinya penilaian kepada Sukan SEA Kuala Lumpur, Ogos lalu, sebelum memutuskan untuk membida hak penganjuran Sukan Komanwel 2022 atau tidak.

Walaupun tarikh bidaan dilanjutkan ke 30 November depan, Malaysia masih belum mempunyai sebarang perancangan untuk perkara tersebut kerana enggan membuat keputusan terburu-buru.

Bagaimanapun, perbincangan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, akan dilakukan berhubung perkara itu selepas segala penilaian dibuat.

"Saya ingin mengkaji semula bidaan ini kerana kita telah menganjurkan Sukan SEA yang berjaya, jadi kita perlu melihat kepada penganjuran yang lebih besar, temasya yang lebih besar seperti Sukan Asia atau Sukan Olimpik.

"Sukan Olimpik mungkin terlalu besar buat masa sekarang manakala Sukan Asia melibatkan kos yang terlalu tinggi, melainkan jika kos penganjurannya dikurangkan.

"Jadi, Sukan Komanwel adalah pilihan kita. Cuma kita pernah menganjurkannya suatu ketika dahulu. Sama ada Malaysia akan menjadi penganjur kali kedua atau tidak, itu bergantung dengan perbincangan bersama Perdana Menteri," kata Khairy.

Khairy turut menyentuh isu mengenai kritikan yang diterima Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) oleh penyokong Malaysia di mana ia adalah sesuatu yang tidak wajar untuk terus mempertikaikan kredibiliti presidennya, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Sokongan dan kesabaran amat penting ketika ini dalam membantu kejayaan bola sepak negara pada masa hadapan.

"Seperti mana yang pernah saya katakan, kita perlu berikan sokongan. Masalah kita adalah kita sering mengharapkan kejayaan dalam masa yang singkat.

"Perkara itu menjadi masalah kepada penyokong bola sepak negara," katanya lagi.