Khairy ketuai program satu medal satu pokok 

Oleh Penulis Jemputan 8 November 2017 128
Khairy ketuai program satu medal satu pokok 
Sebanyak 235 anak pokok ditanam hari ini bagi mewakili 143 pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur dan 90 emas skuad Sukan Para ASEAN 2017 bagi menjayakan program 'satu medal satu pokok' yang telah dilancarkan pada 2 Ogos lalu. 

Seiring dengan kejayaan Malaysia dalam sukan dwitahunan itu, program itu menandakan satu kelainan yang dibawa oleh tuan rumah dalam penganjuran temasya KL2017, Ogos lalu. 

Bandar Sukan Kuala Lumpur menjadi tempat pilihan bagi penanaman 235 pokok itu yang diketuai Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, di samping atlet negara, antaranya jaguh dunia silat, Al-Jufferi Jamari, atlet lontar peluru, Ziyad Zolkeifli, dan peluncur air terbaik Asia Tenggara, Aaliyah Yoong. 

"Ini satu program yang bagus untuk menghijaukan bumi Malaysia. Seperti yang kita sedia maklum, banyak bangunan didirikan di negara ini, pokok pun sudah tidak banyak. 

"Saya sangat menyokong inisiatif menanam pokok yang dilancarkan sempena Sukan SEA dan Sukan Para Sukan ASEAN ini serta bangga menjadi sebahagian daripada program ini," kata Ziyad.

Bagi fasa seterusnya, sebanyak 5,010 anak pokok akan ditanam di Tropical Rainforest Living Collection di Grik, Perak, Kenyir Wildlife Corridor di Terengganu dan Lojing Highland, Kelantan, dari Januari hingga Mac 2018. 

"Dalam beberapa edisi Sukan SEA, ada (tuan rumah) yang mendakwa ia sebagai hijau (mesra alam). Tetapi, tidak pernah ada pengukuran impak mengenainya.

"Sebaliknya, program ini membuat pengesahan audit manakala legasi tong-tong kitar semula masih lagi kelihatan di Bandar Sukan KL, Bukit Jalil dan penanaman pokok akan terus dibuat pada tahun-tahun akan datang," ujar Khairy. 

 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen