Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, akan berbincang dengan jaguh berbasikal trek negara, Azizulhasni Awang, untuk menamakan Velodrom Nasional di Nilai, Negeri Sembilan, sempena namanya bagi menghargai kejayaannya muncul juara dunia acara keirin, semalam.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menghargai kejayaan Azizulhasni apabila muncul sebagai pelumba berbasikal trek pertama negara menjuarai Kejohanan Dunia.

Khairy menerima beberapa cadangan menamakan Velodrom Nasional sempena nama Azizulhasni, namun ia terlebih dahulu perlu mendapat persetujuan 'The Pocket Rocketman'.

Pelumba kelahiran Dungun, Terengganu, itu djadual pulang ke tanah air pada Ahad ini dan satu perbincangan lanjut akan dibuat.

"Ini perkara yang boleh dipertimbangkan tapi saya akan berbincang dengan Azizulhasni sendiri.

"Saya berasakan Azizulhasni sendiri tidak mahu diagung-agungkan sehingga kerjayanya selesai.

"Saya mengenalinya. Dia seorang yang sangat-sangat fokus dan saya tidak fikir dia mahukan tumpuan seumpama itu terlalu awal," katanya.

Azizulhasni muncul juara keirin Kejohanan Dunia, Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) di Hong Kong malam tadi selepas menanti selama 10 tahun.

Ia adalah kejayaan selepas dia meraih dua perak dan dua gangsa dalam percubaan lalu.

Terdahulu, Khairy memperkenalkan 13 duta Program Transformasi Nasional 2050 (TN2050) di Putrajaya.