Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, mengakui risau dengan kemerosotan prestasi ratu skuasy negara, Datuk Nicol Ann David, tahun ini dan bersedia untuk membantu bekas pemain nombor satu dunia itu mengembalikan rentak kemenangannya.

Saingan musim ini menyaksikan Nicol masih gagal meraih sebarang kejuaraan dalam saingan Persatuan Skuasy Profesional (PSA) dan kini menghuni ranking ketiga dunia.

Khairy berasa Nicol memerlukan sokongan untuk mengembalikan kekuatan mentalnya apabila beraksi.

"Kami perlu memikirkan apakah cara terbaik untuk memastikan kekuatan fizikal dan yang paling penting berdasarkan perbincangan saya bersamanya pada awal tahun ini adalah keadaan mental dia.

"Bagaimana untuk memperkuatkan lagi mentalnya supaya dia dapat mengembalikan corak kemenangan dalam permainannya," katanya.

Khairy juga berasa cadangan untuk Nicol kembali berpusat di tanah air mungkin sukar buat pemain itu memandangkan jurulatihnya, Liz Irving, berpusat di Amsterdam.

Saingan musim ini menyaksikan pencapaian terbaik Nicol ialah mara ke separuh akhir Terbuka Netsuite, Terbuka Hong Kong dan separuh akhir Siri Dunia di Dubai, Mei lalu.

"Nicol juga ada menyatakan kelebihan berkelana di luar. Lebih mudah untuknya menyertai pertandingan dan juga oleh kerana jurulatihnya, Liz Irving, berada di Eropah, jadi ia lebih mudah untuk dia mendapatkan perhatian daripada jurulatih itu."