Pelayar negara, Khairulnizam Mohd Afendy, meminta Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, segera mengumumkan status Program Podium kerana nasib atlet negara terumbang-ambing sejak tamat Sukan Asia Indonesia, bulan lalu.

Khairulnizam merupakan antara atlet Malaysia yang paling menyinar dalam Sukan Asia apabila meraih pingat perak acara laser standard untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Namun, dia tidak dapat menjalani latihan secara sistematik kerana nasib Program Podium belum diputuskan.

Lebih malang, jurulatih Program Podium, Mohd Afendy Abdullah, sudah ditamatkan kontrak sehingga menjejaskan persiapan kejohanan berikutnya serta saingan Sukan Olimpik Tokyo.

Justeru, Khairulnizam meminta Syed Saddiq segera memutuskan nasib Program Podium.

"Atlet masih tertunggu-tunggu apakah status Program Podium dan kami diminta tunggu keputusan daripada pihak atasan.

"Jadi, saya harap Kementerian Belia dan Sukan dapat menangani isu ini dengan segera selain saya harap pihak-pihak tertentu dapat menerangkan situasi sebenar agar atlet tidak hilang arah tuju.

"Selain itu, jurulatih perlu dikekalkan sebab beliau sudah membuktikan kemampuan.

"Lagipun persiapan Sukan Olimpik Tokyo tinggal lagi dua tahun sahaja.

"Jika kami kehilangan khidmat jurulatih, kami perlu membentuk semula keserasian selain segala maklumat perlu dilakukan dari awal semula.

"Ia satu pembaziran masa dan bagi saya, apa yang kami ada ketika ini sudah cukup bagus dan perlu diteruskan supaya kami boleh tingkatkan persembahan kami," kata Khairulnizam.