Pelayar negara, Khairulnizam Mohd Afendy, menutup mulut pengkritik susulan hanya meraih pingat gangsa Sukan SEA Filipina apabila muncul juara acara laser standard saingan Regatta Antarabangsa di Abu Dhabi semalam.

Malaysia kini segar dengan tambahan dua lagi tiket tambahan Sukan Olimpik 2020 menerusi Noraisyah Jamil dan Juni Karimah Noor Jamali dan kejayaan Khairulnizam muncul juara acara laser standard di Abu Dhabi menyerikan kem pelayaran kebangsaan.

"Alhamdulillah saya bergelar juara. Ini salah satu persiapan untuk ke Kejohanan Asia tahun depan. Bagi saya, ia suntikan semangat selepas kegagalan dalam Sukan SEA.

"Bukan mudah untuk bangkit, ditambah dengan cabaran daripada wakil India dan Hong Kong yang turut memburu tiket Olimpik," katanya.

"Mengenai kejayaan Juni dan Noraisyah, ia adalah hari yang baik buat sukan pelayaran. Ia bukan perkara mudah, lebih-lebih lagi Juni adalah pelayar baru."