Atlet Pahang yang positif doping, Khairul Anuar Mohamad, memohon Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM) tidak mengenakan hukuman maksimum empat tahun ke atasnya kerana dia tidak sengaja mengambil makanan tambahan yang mengandungi steroid.

Khairul Anuar sudah memulangkan dua pingat emas kategori 94kg Sukma Sarawak kepada PABM.

Dia juga memberikan kerjasama sepanjang siasatan berlangsung, sekali gus memberikan bayangan bahawa kesilapan itu tidak disengajakan.

Atlet berusia 21 tahun ini mengakui mengambil makanan tambahan, sejenis protein yang dibeli sendiri untuk menaikkan berat badan beberapa bulan menjelang Sukma Sarawak.

Namun, dia tidak menyangka makanan tambahan itu mengandungi steroid.

“Ketika di Sukma, saya beraksi dalam kategori yang berbeza, saya tidak mengetahui bahawa makanan tambahan yang saya ambil mengandungi steroid.

"Ia perbuatan yang tidak sengaja. Saya berharap dapat hukuman yang bakal dikenakan kepada saya dapat dikurangkan,” ujarnya.

PABM akan mengumumkan hukuman terhadap Khairul Anuar, Rabu ini.

Berdasarkan peraturan Agensi Anti Doping Dunia (WADA), kesalahan membabitkan steroid boleh digantung maksimum empat tahun.

Lebih malang, kesalahan itu dikesan ketika kejohanan sedang berlangsung.

Khairul Anuar adalah antara empat atlet yang diuji positif bahan terlarang ketika beraksi di Sukan Malaysia (Sukma), Sarawak 2016 lalu.

Dua atlet lain daripada sukan memanah dikesan menggunakan sibutramine manakala seorang lagi daripada sukan tinju.