Pelumba berbasikal trek para, Afiq Afify Rizan, disenaraikan dalam Program Podium tetapi timbul tanda tanya mengenai nama jurumudinya, Muhammad Khairul Adha Rasol, yang tercicir daripada senarai program itu.

Afiq dan Khairul mula digandingkan pada awal 2017, dengan pencapaian terbaik mereka adalah pingat gangsa 200 meter pecut dalam Kejohanan Berbasikal Para Trek Dunia di Amerika Syarikat, Mac lalu.

Dengan segala pencapaian yang telah dilakar bersama sepanjang tahun ini, termasuk meraih dua emas dan satu perak dalam Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur, September lalu, Afiq kembali disenaraikan
dalam Program Podium manakala status Khairul menjadi tanda tanya.

"Saya berasa kecil hati apabila dia disenaraikan ke Program Podium tetapi itu adalah rezeki untuknya.

"Saya sendiri tidak tahu bagaimana untuk memberikan reaksi kerana tiada pilot, tidak akan terhasil sebuah kejayaan," kata Khairul.

Sementara itu, Afiq berkata: "Keserasian adalah sesuatu yang sukar diraih dalam tandem. Macam saya dan pilot, Khairul.

"Saya belum mendapatkan keserasian sepenuhnya tetapi tetap akan cuba mempamerkan aksi terbaik."

Perkara itu mendapat perhatian Pengarah Bahagian Paralimpik, Majlis Sukan Negara (MSN), Safrul Sahar Yusof, yang akan membawa perkara tersebut kepada Institut Sukan Negara (ISN) bagi mendapatkan penjelasan daripada Pengarah Program Podium, Tim Newenham.

"Kami akan mengadakan perbincangan lanjut dengan MSN dan ISN bagi Program Podium untuk menyelaraskan program yang diadakan untuk berbasikal.

"Pemilihan untuk posisi pilot buat atlet yang terpilih akan diketahui selepas itu," katanya.