Jurulatih pecut negara, Mohd Poad Kassim, menganggap kegagalan Khairul Hafiz Jantan terpilih dalam Program Podium sebagai pembakar semangat untuk memecah rekod 100 meter kebangsaan, 10.18 saat, menjelang Sukan Komanwel dan Sukan Asia 2018.

Poad memandang positif keputusan Institut Sukan Negara (ISN) kerana selaku raja pecut Asia Tenggara, Khairul Hafiz masih muda dan memiliki banyak masa untuk membuktikan kemampuannya.

Malah, dia yang baru pulih daripada kecederaan hamstring sedang gigih berlatih di Johor untuk memecahkan rekod 100 dan 200m kebangsaan miliknya sendiri.

"Itu bukan satu halangan untuknya melakukan catatan yang lebih baik. Sudah tentu pihak Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) akan memastikan Khairul Hafiz dalam keadaan baik menerusi latihan dan pendedahan yang akan diaturkan," katanya.

Hanya tiga atlet olahraga terpilih dalam Program Podium, iaitu jaguh lompat tinggi, Nauraj Singh, Muhammad Hakimi Ismail (lompat kijang) dan Muhammad Irfan Shamsuddin (lempar cakera).

Ia sekaligus meningkatkan cabaran buat Hakimi dan Irfan selaku pendatang baru program itu.

"Ini peluang yang lebih besar untuk mereka mengembangkan bakat dan berlatih sepenuh masa untuk Sukan Komanwel dan Sukan Asia nanti," kata ketua jurulatih olahraga negara, Zainal Abas.

KOM akan mengadakan mesyuarat bersama Majlis Sukan Negara (MSN), minggu depan untuk menentukan program latihan bagi menghadapi cabaran tahun depan.