Khairul Hafiz tekad bangkit tahun depan

Oleh Staff Writer 13 November 2017 232
Khairul Hafiz tekad bangkit tahun depan
Pelari pecut negara, Khairul Hafiz Jantan, menganggap kegagalan terpilih ke dalam Program Podium adalah cabaran untuknya memecahkan rekod 100 dan 200 meter kebangsaan tahun depan, sekaligus mencipta kejutan merangkul pingat emas di pentas Sukan Asia 2018 Indonesia.

Khairul Hafiz memandang positif keputusan Institut Sukan Negara (ISN) selepas hanya tiga atlet olahraga, Nauraj Singh (lompat tinggi), Muhammad Irfan Shamsuddin (lempar cakera) dan Muhammad Hakimi Ismail (lompat kijang) dipilih dalam program tersebut.

Ia menimbulkan persoalan mengapa lelaki terpantas Asia Tenggara itu tidak terpilih, namun dia ada cara tersendiri untuk menjawab keputusan itu.

“Saya akan cuba sasarkan semula sasaran untuk 100 dan 200 meter tahun depan. Saya akan cuba yang terbaik kerana pada permulaan musim depan, saya akan menghadapi kejohanan besar.

“Mungkin saya akan dapatkan semula rentak apabila berdepan saingan lebih tinggi.

“Mengenai kejohanan di Majlis Sukan Negara (MSN) pada hujung minggu ini, jurulatih masih tidak membenarkan saya untuk beraksi kerana masih dalam proses pemulihan daripada kecederaan paha,” katanya.

Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) akan mengadakan mesyuarat dengan MSN esok untuk menentukan program terbaik baginya menghadapi musim 2018.
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen