Raja Pecut Asia Tenggara, Khairul Hafiz Jantan, mengakui bersedia melupakan hasrat beraksi dalam Sukan Malaysia (Sukma) 2018 dan memberi perhatian kepada tiga kejohanan lebih besar, tahun depan.

Menurutnya, keutamaan akan diberikan kepada Kejohanan Olahraga Dalam Dewan Dunia di Birmingham, England pada 1 hingga 4 Mac dan Sukan Komanwel Gold Coast, Australia (4-15 April).

Malah, Khairul Hafiz mahu melakukan persiapan terbaik dalam penyertaan sulung ke Sukan Asia di Jakarta, Indonesia dari 18 Ogos hingga 2 September.

Atlet kelahiran Melaka berusia 19 tahun itu juga berkata fokusnya kini untuk pulih daripada kecederaan dan kembali berlatih sebelum sebarang kata putus dibuat bersama jurulatih, Mohd Poad Md Kassim.

“Situasi itu akan dinilai, mungkin terpaksa memberi peluang kepada bakat-bakat baharu dalam Sukma 2018 sekiranya jadual bertembung.

“Saya akan tetap fokus dan sasaran pada 2018 ialah memperbaharui rekod kebangsaan acara 100 meter,” kata Khairul Hafiz.

Sementara itu, ratu pecut negara, Zaidatul Husniah Zulkifli, meletakkan sasaran untuk menyertai lebih banyak kejohanan tahun depan bagi mencatat masa terbaik.

Zaidatul turut berikrar menggandakan usaha bagi melayakkan diri secara merit ke Sukan Komanwel walaupun berdepan tugas berat.

“Sudah menjadi hasrat mana-mana atlet untuk bertanding dalam temasya hebat dan saya akan bekerja keras untuk mencapai impian itu,” katanya.

Khairul Hafiz dan Zaidatul ditemui selepas program Bicara Santai Bersama Jaguh Pecut Negara yang dihadiri 500 pelajar di Sekolah Sukan Malaysia Terengganu, Gong Badak.

Mereka juga sempat meluangkan masa ke Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) Terengganu selama tiga hari yang berakhir, kelmarin.