Pelari pecut negara, Khairul Hafiz Jantan, perlu meningkatkan pecutan maksimum pada 70 meter terakhir untuk mencerahkan peluangnya mencatat masa di bawah 10 saat dalam memburu gelaran lelaki terpantas benua Asia.

Senjata utama Khairul Hafiz ialah permulaan pantas apabila sering menunjukkan reaksi paling awal dari blok permulaan, namun perlahan pada hujung perlumbaan.

Mengulas mengenai masalah itu, pegawai biomekanik Institut Sukan Negara (ISN), Jad Adrian Wasif, berkata: "Dia mempunyai kaki yang lebih panjang dan bentuk badan yang lebih sesuai.

"Tetapi saiznya tidak berapa besar. Daripada aspek lain, dia lebih baik daripada pelari pecut lain."

Tambahnya, bagi mendapatkan pelepasan terbaik, Khairul Hafiz perlu memperbaiki posisi bahu, pinggang, lutut dan buku lali untuk berada dalam satu garisan lurus.

Aspek itu juga dimiliki juara Sukan Olimpik, Usain Bolt, yang memudahkannya mendapatkan permulaan terbaik.

Bagaimanapun, katanya, Khairul Hafiz memiliki frekuensi yang tinggi, dengan dia mampu melakukan tujuh langkah untuk 10m pertama dan ia kunci utama bagi mendahului perlumbaan.

Jelas Jad Adrian, Khairul Hafiz mencapai pecutan maksimum pada 60m pertama tetapi sukar mengekalkan momentum itu. Justeru untuk memperbaikinya, dia perlu memiliki stamina lebih tinggi.

"Jika memiliki stamina lebih baik, dia mampu menambah frekuensi untuk mengejar catatan bawah 10 saat," katanya.

Setakat ini, kemampuan langkah Khairul Hafiz menyamai legenda Kanada, Ben Johnson, cuma dibezakan dengan saiz langkah.

"Dia harus mendapat frekuensi yang tinggi pada kelajuan maksimum dan mengekalkan kekuatan pada setiap 10 meter. Dia tidak mampu melakukannya pada masa ini tetapi kita tahu ia boleh dipertingkatkan," ujar Jad Adrian.

Berdasarkan kajian ISN juga, Khairul Hafiz mampu memperbaiki masalah itu dalam tempoh kurang daripada setahun.

Ia masa yang cukup untuknya menghadapi Sukan Asia Indonesia di Jakarta dan Palembang, dari 18 Ogos hingga 2 September tahun depan.

Sementara itu, pemenang pingat emas 100m Sukan Asia 1966, Tan Sri Dr M Jegathesan, berkata "Saya mengharapkan yang terbaik untuknya, selepas melakukan kerja keras, keinginan dan keyakinan tinggi untuk menghadapi cabaran."