Bekas raja pecut negara, Khairul Hafiz Jantan, mengalami kecederaan yang berpanjangan sejak memenangi pengat emas dalam acara 100 meter Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 sehingga terlepas peluang untuk beraksi dalam acara sama edisi di Filipina tahun lalu.

Faktor itu meningkatkan keazamannya untuk kembali ke pentas sukan dwitahunan itu di Vietnam tahun depan biarpun Majlis Sukan Negara (MSN) dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) merancang untuk menghantar pemenang emas Sukan Malaysia (Sukma) Johor ke temasya itu.

Pelari berusia 22 tahun itu bersedia membuktikan dirinya masih relevan untuk membantu mempertahankan pingat emas acara itu, yang dimenangi Malaysia dalam dua edisi terdahulu.

"Saya baru pulih sepenuhnya tahun ini dan Insya-Allah, saya akan kembali.

"Walaupun saya tidak dapat beraksi dalam Sukma, saya masih boleh menyertai kejohanan lain untuk layak ke Sukan SEA 2021.

"Saya mahu beraksi dalam Sukan SEA untuk malaysia.

"Walaupun saya tidak dapat beraksi dalam acara individu, saya masih boleh membawa nama Malaysia dalam acara berganti-ganti.

"Tidak kira siapa yang akan memenanginya, apa yang penting adalah pemenang itu dari Malaysia," katanya.



Sementara itu, seorang lagi pelari pecut negara, Jonathan Nyepa, berasakan prestasi atlet seharusnya menjadi faktor pemilihan ke temasya itu.

Dia turut menegaskan kejayaan memenangi di Kala Lumpur pada 2017 dan di Filipina tahun lalu bukan jaminan untuk Malaysia mencipta hatrik di Vietnam.

"Bagi saya, usia tidak menjamin emas tetapi ia bergantung kepada pretasi atlet. Siapa yang lebih berusaha pasti boleh dapat (emas).

"Saya akan mencuba untuk melepasi had kelayakan dan akan melihat apa keputusan persatuan," katanya.