Selepas lebih tujuh bulan tidak menyertai sebarang kejohanan kompetitif, Raja Pecut Sukan SEA 2017, Khairul Hafiz Jantan, bakal melakukan penampilan pertama dalam Sukan Universiti Dunia (Universiade) di Napoli, Itali esok.

Kejohanan terakhir yang disertai atlet berusia 20 tahun itu ialah Kejohanan Terbuka Innotex-Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) pada November 2018, di mana dia meraih pingat emas dengan catatan 10.55 saat dalam final sebelum memulakan rawatan dan proses pembentukan fizikal bersama pakar Institut Sukan Negara (ISN).

Harapan jurulatihnya, Mohd Poad Md Kassim, adalah untuk melihat anak didiknya kembali mendapatkan rentak larian dengan mencatatkan masa di bawah 10.40 saat dalam usaha mempertahankan emas Sukan SEA.

“Kejohanan ini (Universiade) penting baginya untuk tanam keyakinan sebab dah lama tak lari. Saya harap Khairul dapat serap segala keadaan semasa kejohanan, terutama kejohanan besar seperti Universiade,” katanya kepada Bernama.

Walaupun Mohd Poad tidak mengikuti Khairul Hafiz ke Itali, dia tetap mengharapkan keputusan dan prestasi yang terbaik buat anak buahnya yang kini menuntut di Universiti Putra Malaysia (UPM).

Atlet kelahiran Merlimau itu, yang mempunyai catatan peribadi terbaik 10.18s yang dicatatkan dalam Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak 2016, yang juga merupakan rekod kebangsaan, perlu kembali mendapatkan rentaknya sebelum Sukan SEA Filipina November depan sekiranya mahu mempertahankan gelaran Raja Pecut Asia Tenggara.

Dia sudah pasti menerima saingan sengit daripada juara dunia B-20, Lalu Muhammad Zohri, 18, yang mencatatkan 10.03s dalam kejohanan Golden Grand Prix Osaka, Mei lalu, sekiranya Indonesia membenarkan atlet itu menyertai Sukan SEA kerana fokus utamanya adalah Kejohanan Dunia di Doha pada Oktober depan serta Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Catatan terbaik semusim Khairul Hafiz bagi 2018 adalah 10.28s dalam Kejohanan Kebangsaan Besigheim, Jerman pada Julai tahun lalu.

Sementara itu, jurulatih skuad olahraga Universiade negara, Nazmizan Mohamad, berkata semua 11 atlet olahraga negara, termasuk Khairul Hafiz dan Jonathan Nyepa (100m lelaki) sudah bersedia untuk beraksi di Napoli.

“Sasaran pingat diletakkan ke atas Muhammad Irfan Shamsuddin (lempar cakera lelaki) manakala bagi pelari pecut, layak ke final boleh dah cukup baik,” kata bekas Raja Pecut Sukan SEA 2003 itu ketika dihubungi di Napoli.

-- BERNAMA