Khairul Hafiz, Haiqal Hanafi kembali berlatih bersama Poad

Oleh Ammar Hakim 20 April 2021 694
Khairul Hafiz, Haiqal Hanafi kembali berlatih bersama Poad
Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) meluluskan permohonan juara 100 meter Sukan SEA, Khairul Hafiz Jantan dan Mohd Haiqal Hanafi, untuk kembali ke pangkuan bekas jurulatih mereka, Mohd Poad Md Kassim.

Keputusan berpisah dengan pengarah teknikal KOM, Dwayne Miller akan berlangsung dalam masa terdekat kerana kedua-dua jaguh pecut itu kesuntukan masa melepasi had kelayakan Sukan Olimpik Tokyo.

KOM bersetuju memenuhi permintaan Khairul dan Haiqal yang berpindah ke Bukit Jalil sejak Oktober 2020.

Ia berdasarkan keputusan mesyuarat bersama Institut Sukan Negara (ISN), ketua jurulatih negara, Miller dan Poad, minggu lalu.

Apa yang menarik, mesyuarat itu memutuskan Khairul dan Haiqal dibenarkan kembali ke pangkuan Poad selepas Terbuka Malaysia, Jun depan namun tidak dipersetujui kedua-dua pelari terbabit.

"Kedua-dua atlet tersebut kekal dengan keputusan mereka, jadi pihak KOM dan MSN memberikan kebenaran kepada mereka untuk kembali berlatih bersama jurulatih pecut, Md Poad. Mereka perlu kembali ke MSN bagi latihan acara berganti-ganti dan pihak KOM dan MSN akan sentiasa membantu atlet-atlet ini," kata Presiden KOM, Datuk SM Muthu.

Realitinya, Khairul dan Haiqal tidak banyak berkembang di bawah Miller.

Kedua-duanya tidak pernah beraksi dalam acara 100m sejak lapan bulan lalu sama ada ekoran kecederaan atau belum sedia beraksi.

Sementara itu, Poad menunggu lampu hijau KOM dan MSN untuk memulakan sesi latihan pertama di Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI), Johor. 

Cuma beliau mengakui misi melepasi had kelayakan Sukan Olimpik Tokyo, 10.05 saat umpama satu tugas mustahil.

Ia memandangkan Khairul dan Haiqal hanya mempunyai masa kurang dua bulan sebelum tarikh tutup kelayakan Olimpik.

"Apabila mendapat makluman bahawa Khairul Hafiz dan Haiqal untuk kembali berlatih bersama saya, saya sentiasa menerimanya dengan terbuka," katanya.

"Saya terharu dengan pihak KOM untuk mendengar pandangan atlet dan misi untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik agak sukar namun persiapan menjelang Sukan SEA masih lagi di landasan terbaik dalam usaha untuk mempertahankan pingat emas yang dimenangi pada 2019."
 

Tentang Penulis

Ammar Hakim

Komen