Jerman sah menjadi destinasi kem latihan Khairul Hafiz Jantan bagi menghadapi Kejohanan Dalam Dewan Dunia di Birmingham, England, Mac depan, sekaligus menyaksikan dia terpaksa membatalkan program latihan di Jepun.

Perkembangan itu disahkan jurulatih pecut negara, Poad Kassim, dan Khairul Hafiz juga akur dengan keputusan itu.

Pada awalnya, Jepun merupakan pilihan Khairul Hafiz kerana mahu menguji diri di samping bintang meningkat naik negara itu, Abdul Hakim Sani Brown.

Seperti perancangan daripada Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) sebelum ini, mereka akan ke Mannheim, Jerman selama sebulan pada Februari nanti.

Jerman dimuktamadkan atas faktor memudahkan penyesuaian diri dengan persekitaran di Eropah.

“Kami memilih untuk berlatih di Jerman. Apa-apa kejohanan yang besar, jurulatih akan melakukan yang terbaik untuk dia, untuk mengejar catatan masa yang kami sasarkan,” kata Poad.

“Kejohanan dalam dewan itu adalah 60m sahaja tetapi saya lari 100m. Mungkin ia pengalaman baru. Saya pun baru baik daripada kecederaan. Saya pulang ke Johor untuk membuat pemulihan bersama jurulatih (Poad),” kata Khairul Hafiz.

Ini sebahagaian daripada perancangan musim 2018 buat Khairul Hafiz, termasuk kem di Australia selepas aksi di Birmingham bagi menghadapi Sukan Komanwel di Gold Coast tahun depan.

Poad dan Khairul Hafiz juga menanti maklum balas daripada Institut Sukan Negara (ISN) berhubung statusnya untuk disenaraikan sebagai atlet Program Podium.

“Dalam Program Podium, perancangannya datang daripada jurulatih juga. Saya rasa tiada masalah untuk perkara itu. Cuma pihak Podium akan membantu kami untuk meningkatkan prestasi Khairul,” tambah Poad.