Tonggak pasukan futsal negara, Mohd Khairul Effendy Mohd Bahrin, 30, bakal muncul pemain tempatan pertama beraksi di luar negara apabila hari ini mengesahkan akan menyertai kelab Indonesia, SKN Kebumen, dalam liga futsal negara itu pada awal tahun depan.

Pemain kelahiran Klang yang mesra disapa Ayon itu adalah antara pemain yang sentiasa menyerlah dalam setiap kejohanan disertainya, sama ada di peringkat domestik mahupun antarabangsa.

Selain cemerlang bersama Melaka memenangi Liga Futsal Kebangsaan 2017, Ayon juga membantu skuad negara meraih pingat perak Sukan SEA Kuala Lumpur, Ogos lalu, dan tempat kedua Kejohanan Futsal AFF di Bangkok pada Januari lalu.

"Saya hampir pasti akan ke sana. Sekarang ini, saya tengah baca kontrak. Kalau semuanya baik, saya akan tandatangani dan mungkin menyertai latihan mereka pada bulan depan," katanya.

Lebih menarik, tawaran lumayan itu hadir ketika saingan Liga Futsal Kebangsaan 2018 dikhabarkan akan berlangsung Februari tahun depan.

Namun, Ayon tampak memilih untuk beraksi di Indonesia demi kariernya.

"Liga mereka ini kompetitif dan setiap perlawanan mereka ada disiarkan di atas talian.

"Ia adalah impian saya untuk beraksi dalam liga di luar Malaysia. Jadi, ini dianggap pencapaian terbaik saya," katanya.