Persediaan perenang negara, Welson Sim, ke Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2018 Disember depan tidak terjejas walaupun tanpa ketua jurulatih yang masih belum dimuktamadkan bagi menggantikan Paul Birmingham.

Bagi Welson, tiada alasan untuknya tidak beraksi baik dalam saingan AUG buat julung kalinya walaupun tanpa tunjuk ajar ketua jurulatih.

Meskipun berasa sedikit janggal selepas ketiadaan Birmingham sejurus berakhir Sukan Asia Indonesia awal bulan lalu, perenang berusia 21 tahun ini tetap dengan perancangannya sendiri bagi melakukan persediaan terbaik.

Welson menjangkakan ketua jurulatih baru buat skuad renang negara hanya akan tiba paling awal pada Disember atau selewat-lewatnya tahun depan.

"Saya tidak tahu sama ada jurulatih baru akan sempat dilantik sebelum AUG bermula. Saya menjangkakan beliau akan bersama pasukan tahun depan bagi membantu Malaysia menghadapi Kejohanan Dunia dan Sukan SEA," katanya.

Pemenang pingat emas Sukan SEA 2017 itu sedang di bawah kendalian penolong jurulatih, Jeffrey Ho Chiang Liang, di mana rutin latihan disingkatkan kepada satu sesi sahaja.

"Buat masa ini, terdapat beberapa atlet sahaja yang meneruskan latihan dan apabila tiba masanya, mereka akan kembali bersama skuad negara."