Gara-gara ancaman ketenteraan membabitkan Iran dan Amerika Syarikat, jaguh lompat tinggi negara, Lee Hup Wei, mengambil tindakan drastik menarik diri daripada Kejohanan Dalam Dewan Dahe Fair di Tehran minggu depan.

Dia tidak sanggup mengambil risiko yang boleh mengancam keselamatan atlet negara.

Keputusan pemenang pingat emas Sukan SEA Filipina 2019 itu menyaksikan Malaysia akan diwakili lima lagi atlet yang masih diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga.

Skuad negara sepatutnya berangkat ke Tehran, Isnin depan.

"Bagi saya, lebih baik cari kejohanan lain kerana ia tidak penting untuk kutip mata. Mungkin jika pergi ke Kejohanan Terbuka Malaysia, ia berbaloi untuk kutip mata," katanya.

"Selepas Sukan SEA, jarak tidak jauh untuk kejohanan di Iran ini. Saya hanya mahu baiki kelemahan berbanding tahun lalu," tambah atlet heptatlon negara, Norliyana Kamaruddin.

"Saingan di Iran itu adalah atas jemputan dan ia hanya untuk memanaskan badan. Jadi, ini bukan satu keperluan yang tinggi, lebih-lebih lagi apabila melibatkan soal keselamatan, sudah pasti kami akan ambil langkah lebih selamat.

"Pergi atau tidak, itu bergantung kepada pihak pengurusan," ujar ketua jurulatih skuad olahraga negara, Manshahar Abdul Jalil.

Mengikut perancangan awal, skuad negara akan menyertai kejohanan di Tehran itu sebelum diikuti Kejohanan Dalam Dewan Asia di China bermula 13 Januari ini.



Editor: Nafis Abdullah