Kontinjen negara akan terus terpalit dengan kes doping berprofil tinggi pada 2018 selagi penggunaan bahan terlarang seperti sibutramine dianggap kesalahan biasa.

Isu penyalahgunaan sibutramine mula gempar menerusi kes membabitkan atlet wushu negara, Tai Cheau Xuen, pada 2014.

Penggunaan menerusi ejen yang bertujuan mengawal berat badan meragut dua lagi nama besar, penerjun, Wendy Ng Yan Yee, dan penjaga gol hoki negara, S. Kumar, pada 2017.

Permasalahan ini mungkin berpunca daripada persepsi bahawa penggunaan bahan mengandungi sibutramine secara sengaja atau sebaliknya, tidak seberat stimulan berbentuk peningkat prestasi seperti steroid.

"Sibutramine bukan stimulan peningkat prestasi tetapi ia disenaraikan oleh WADA sebagai bahan terlarang," kata Ketua Pegawai Eksekutif ISN, Dr. Mohd Khairi Zawi.

"Langkah seterusnya buat ISN adalah mahu memberikan kesedaran kepada atlet mengenai bahan terlarang ini," ujarnya.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, menegaskan Institut Sukan Negara (ISN) akan meneruskan inisiatif membantu atlet agar lebih peka dengan isu doping di samping berasakan atlet juga perlu lebih bertanggungjawab.

Istilah tidak tahu hanya menyerlahkan sifat jahil ketika Agensi Anti Doping Dunia (WADA) sentiasa mengemaskini senarai bahan terlarang.

"Kami akan terus berusaha untuk mempertingkatkan lagi kesedaran terhadap bahan terlarang ini serta mendapat bantuan daripada Agensi Anti Doping Malaysia (ADAMAS) untuk membantu pihak ISN menangani isu ini," tambahnya.