Agensi Anti Doping Malaysia (ADAMAS) melihat tempoh hukuman yang dijatuhkan Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM) terhadap dua atlet memanah yang positif ujian bahan terlarang ketika Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak, Ogos lalu, adalah wajar meskipun timbul pertikaian.

Kedua-dua atlet yang masing-masing dari Terengganu dan Kedah terbabit dikenakan hukuman gantung hanya enam dan lapan bulan.

Ia dilihat agak ringan berbanding tempoh hukuman yang biasa dikenakan, iaitu di antara dua hingga empat tahun.

Bagaimanapun, ADAMAS mengesahkan tempoh itu tertakluk kepada beberapa faktor, antaranya kerana dilakukan tanpa sedar, di samping penggunaannya mungkin tidak memberikan kesan maksimum terhadap prestasi.

"Faktor tertentu itu adalah sama ada atlet tersebut sedar atau tidak sedar akan pengambilan bahan terlarang itu.

"Dari situ, keputusan akan dibuat berdasarkan faktor-faktor ini di samping mengambil kira kes-kes terdahulu," jelas Pegawai Undang-Undang ADAMAS, Muhammad Syamil Fahmy.

Pakar perubatan sukan, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Profesor Madya Dr Abdul Halim Mokhtar, menyarankan agar atlet sentiasa prihatin dengan segala jenis ubat-ubatan yang diambil.

Katanya, atlet harus mendedahkan ubat sampingan yang diambil jika berasakan ia terkandung bahan terlarang supaya bantuan dapat dihulurkan kepada mereka.

"Dalam SUKIPT (Sukan Institusi Pengajian Tinggi), kami sudah meminta semua peserta untuk memaklumkan kepada jawatankuasa perubatan tetapi tiada daripada mereka yang memaklumkan kami ketika itu.

"Jika ada, kami akan membuat penilaian dan memberi nasihat," katanya.

Empat pemenang pingat dalam Sukma Sarawak disahkan gagal dalam ujian doping yang dijalankan ADAMAS dari 20 hingga 30 Julai lepas.

Dua daripada empat atlet berkenaan yang tidak dinyatakan nama adalah atlet memanah yang dikatakan mengambil bahan terlarang jenis sibutramine serta masing-masing seorang atlet angkat berat (anabolic steroid) dan tinju (diuretics).