Jurulatih badminton perseorangan wanita negara, Sairul Amar Ayob, meminta penerjun kebangsaan yang menuntut ujian sampel B kes doping di New Delhi, India tidak putus harapan walaupun peluangnya untuk terlepas hanya 0.01 peratus.

Sairul pernah terlepas hukuman apabila ujian sampel B yang dilakukan di Belgium pada 2006 didapati negatif.

Pada awalnya, sampel A air kencingnya dikesan positif dexamethasone, namun dia yakin tidak menyambil sebarang bahan terlarang, sekali gus berani meminta ujian sampel B dilakukan.

Situasi sama dialami penerjun negara yang beraksi dalam Sukan SEA Kuala Lumpur, Ogos lalu, dan dia menasihatkan agar atlet terbabit tidak putus harapan.

"Saya yakin saya tidak ambil apa-apa, itu yang menyebabkan saya berani. Pada masa itu, ketika menyertai kejohanan, saya tidak mengalami kecederaan dan tidak ada apa yang perlu saya takuti.

"Tetapi kalau positif juga keputusan (sampel B), saya reda. Dengan keyakinan itu atau dengan berasa tidak bersalah membuatkan saya berani walaupun agak jauh pergi ke Belgium," katanya.

Keputusan sampel B bagi penerjun negara terbabit dijangka diketahui Sabtu ini.

Sebelum ini, dia dikesan poritif sibutramine, bahan yang biasa dalam pil pelangsingan badan.

Jika ujian kedua itu kekal positif, dia perlu menyerahkan semula dua pingat emas Sukan SEA dan berdepan penggantungan maksimum dua tahun.

"Apa yang perlu saya nasihati kepada atlet terjun ini, anda perlu bertenang dan doa yang terbaik supaya ia berpihak kepada anda.

"Kepada atlet lain, sebelum mengambil apa sahaja ubat dan makanan tambahan, tolonglah rujuk kepada doktor atau ISN (Institut Sukan Negara)," kata Sairul lagi.