Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Low Beng Choo, masih belum bersedia untuk mendedahkan nama atlet yang disahkan gagal ujian doping dalam Sukan SEA Kuala Lumpur, bulan lalu.

Ia kerana pihaknya masih menunggu maklum balas daripada atlet terbabit dan Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan (NOC) negara berkenaan.

Atlet yang terlibat difahamkan masih membisu walaupun sudah menerima notis daripada Jawatankuasa Perubatan dan Anti-Doping Persekutuan Sukan SEA (SEAGF).

Keadaan itu membuatkan pihak MOM, yang masih bertanggungjawab mengenai isu tersebut, perlu menunggu tindakan susulan NOC negara terbabit.

Jelas Beng Choo, atlet itu mempunyai dua pilihan, sama ada mengaku kesalahan atau memohon untuk melakukan ujian sampel B dikendalikan oleh SEAGF.

"Kami perlu bersikap adil kepada atlet, NOC dan persatuan sukan kebangsaan sebab proses ini perlu diuruskan dengan betul.

"Atlet itu masih ada peluang untuk menguji sampel B dan masih ada proses pendengaran," katanya.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan 10 sampel air kencing yang diuji semula di makmal doping New Delhi, India masih belum diketahui keputusannya.

Tidak diketahui sama ada atlet Malaysia antara yang terbabit, beliau berkata perkara itu akan diketahui dalam masa terdekat.

"Bukan 10 atau 20 tetapi beratus-ratus (sampel). Jadi, bukan senang untuk membuat ujian. Ia perlu dibuat dengan prosedur atau cara yang ketat supaya prosesnya betul.

"Boleh dikatakan ia memakan masa memandangkan keputusan ujian itu menentukan masa depan atlet," tambahnya.