Kerajaan Sabah sentiasa sokong pembangunan sukan

Oleh Willie Jude 1 November 2017 31
Kerajaan Sabah sentiasa sokong pembangunan sukan
Kerajaan Sabah sentiasa memberi perhatian dan sokongan penuh terhadap usaha untuk memajukan bidang sukan di negeri berkenaan.

Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman, berkata pelbagai insentif diberikan sebagai penghargaan dan suntikan semangat kepada semua atlet yang berjaya mengharumkan nama negeri serta menjadi sumber inspirasi dan pendorong kepada pelapis sukan yang baharu.

"Saya juga berharap atlet-atlet Sabah akan terus melakar kejayaan cemerlang serta dapat mengekalkan tradisi sebagai sebuah negeri yang disegani dalam arena sukan negara," katanya ketika berucap sempena Anugerah Sukan Negeri Sabah yang dirasmikan Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin, di Kota Kinabalu, malam tadi

Musa berkata kejayaan sesebuah negeri tidak hanya diukur dari segi pencapaian ekonomi dan sosialnya, malah kejayaan dalam sukan juga perlu diambil kira.

Katanya, kecemerlangan dalam sukan mampu menjadi platform untuk meningkatkan imej serta pengiktirafan kepada sesebuah negeri.

"Ini kerana pencapaian cemerlang ahli-ahli sukan boleh menjadi satu pentunjuk kepada satu pembangunan dan kemajuan yang dicapai," katanya. 

Terdahulu, beliau berkata penganjuran anugerah sukan berpretij yang diadakan secara dwi-tahunan itu adalah satu pengiktirafan serta usaha berterusan kerajaan bagi menghargai ahli-ahli sukan di Sabah.

"Saya yakin, menerusi anugerah ini, ia bukan saja berupaya menjadi motivasi dan perangsang kepada ahli-ahli sukan kita bagi meningkatkan lagi prestasi serta pencapaian masing-masing, malah mencetus semangat anak-anak muda kita untuk menceburi bidang sukan," katanya.
 

Tentang Penulis

Willie Jude

Komen