Pekerja sektor binaan di Indonesia sanggup mengerah kudrat 24 jam sehari bagi memastikan venue, perkampungan atlet dan aspek pengangkutan dapat disiapkan sebelum Sukan Asia 2018, Ogos depan.

Indonesia mengerah puluhan ribu pekerja sektor binaan bagi memastikan persiapan temasya edisi ke-18 itu berjalan lancar.

Proses pembinaan bermula sejak tiga tahun lalu sebaik saja mereka diumumkan sebagai pengganti Vietnam yang menarik diri sebagai tuan rumah.

Tinjauan di perkampungan atlet di Kemayoran, Jakarta menyaksikan tujuh blok bangunan yang mampu menempatkan 15,000 atlet dan pegawai sudah hampir siap sepenuhnya.

Perkampungan atlet boleh mula diduduki, bulan depan.

Indonesia merancang menyewakan kesemua 3,000 unit perkampungan ini kepada individu berpendapatan rendah.

"Kami perlu membuat persiapan lebih awal bagi menyediakan kemudahan bagi penganjuran Sukan Asia yang berlangsung tahun depan, jadi kami mengerah tenaga bekerja selama 24 jam," kata Pengurus Projek Perkampungan Atlet, Henry Filia.

Bagaimanapun, projek sistem Transit Aliran Ringan (LRT) di Jakarta tidak sempat disiapkan menjelang temasya Sukan Asia 2018.