Presiden Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM), Nik Razeen Adam Daud, berharap tidak timbul jurang besar dalam menyediakan keperluan kepada barisan atlet yang diletakkan dalam setiap peringkat program latihan, terutama sukan bukan Olimpik.

Nik Razeen sebelum ini melahirkan kebimbangan apabila skuasy tidak tersenarai dalam peringkat satu program latihan atlet.

Apa yang diharapkan adalah kelebihan yang pernah diterima oleh atlet dalam Program Podium sebelum ini tidak akan berubah walaupun kini mereka hanya diletakkan dalam peringkat dua dan tiga.

"Jaminan diberi bahawa juara dunia akan diberi perhatian walaupun berada dalam peringkat dua di mana mereka akan berada di tempat tertinggi dalam peringkat itu dan tidak begitu jauh dengan peringkat satu. Jadi, saya rasa ia sesuatu yang bagus. Kami memikirkan tentang jurulatih dan itu yang penting," ujarnya.

Dalam masa sama, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, yang hadir dalam majlis penutup bengkel penstrukturan smula program latihan atlet itu memberi jaminan keutamaan sama-rata tetap diberi, khususnya daripada segi peruntukan, tetapi persatuan sendiri perlu turut berusaha mencari bajet tambahan selepas ini.

"Penaja perlu dicari dan dalam masa sama kementerian juga akan membantu. Kami juga dalam proses untuk menggerakkan semula program Rakan Sukan di mana kerajaan akan memacu perubahan dalam mendapatkan dana daripada syarikat swasta untuk menampung beberapa sukan di bawah mereka," kata Syed Saddiq.