Kemelut yang menimpa ketua jurulatih skuad terjun negara, Yang Zhuliang, memasuki episod baru apabila didedahkan dia disingkirkan bukan kerana sistem latihan yang lapuk tetapi dianggap sebagai 'penyubur budaya toksik' dalam kalangan atlet sukan terjun negara.

Ia bertentangan dengan kenyataan Pengerusi Institut Sukan Negara (ISN), Datuk Seri Abdul Azim Ahmad Zabidi, yang sebelum ini menyatakan keengganan Zhuliang mengaplikasikan sains sukan dalam latihannya sebagai punca kontraknya tidak dilanjutkan.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, hari ini tampil memberikan penjelasan terperinci tentang punca utama jurulatih dari China itu disingkirkan menerusi satu kenyataan media melalui laman Facebooknya.

Menurut Khairy, keputusan itu diambil selepas dia mendapat maklumat daripada ISN, Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) dan Majlis Sukan Negara (MSN) tentang sejauh mana Zhuliang telah menimbulkan kebimbangan dalam komuniti sukan terjun.

Zhuliang dikatakan tidak bertindak terhadap kewujudan persekitaran ketakutan dalam kalangan atlet terjun negara sehingga berlakunya kes rogol, gangguan seksual, keganasan, tindakan memukul, buli dan ugutan.

Ia dikatakan telah membawa kepada wujudnya budaya toksik diselubungi ketakutan merentasi hampir keseluruhan sukan terjun.

Justeru, kebajikan dan keselamatan atlet terjun negara menjadi keutamaan dalam keputusan untuk tidak menyambung kontrak jurulatih yang mula diperkenalkan kepada Malaysia buat kali kedua pada 2008 itu.

Kenyataan Khairy itu turut berbunyi: "Tanggungjawab saya sebagai Menteri Belia dan Sukan bukan sekadar untuk membuat dasar bagi mencapai kejayaan sukan Malaysia di peringkat tertinggi tetapi juga untuk menjaga kebajikan atlet negara dan melindungi mereka daripada sebarang ancaman.

"Tiada mana-mana pingat emas yang nilainya lebih tinggi daripada keselamatan atlet negara."

Sementara itu, Zhuliang dalam reaksinya menafikan dakwaan bahawa dia mewujudkan satu persekitaran ketakutan dalam kalangan penerjun negara yang mengundang kepada kes rogol dan gangguan seksual.

Sepanjang khidmatnya sebagai jurulatih sejak Program Gemilang 2001, Zhuliang mempersoalkan kenapa baru sekarang isu budaya tidak sihat dan menakutkan itu timbul sedangkan sebelum ini, mereka dilihat tiada masalah dengan caranya melatih atlet.

Sehubungan itu, baginya, alasan sedemikian adalah tidak wajar dan menganggap kes rogol yang melibatkan penerjun baru-baru ini ternyata memberi tempias negatif kepadanya.

"Saya tidak pernah menjerit, saya seorang yang mempunyai kesabaran yang tinggi. Namun, sama ada atlet takut dengan saya, itu saya tidak tahu.

"Adakah saya bercakap mengenai sesuatu yang buruk? Tidak.

"Saya tidak tahu mengapa..." kata Zhuliang lalu menggelengkan kepala seraya menundukkan wajahnya ketika ditemubual oleh Nadi Arena, petang tadi.