Kembalilah ke Malaysia, nasihat Sharon kepada Nicol

Oleh Staff Writer 16 Oktober 2016 3
Kembalilah ke Malaysia, nasihat Sharon kepada Nicol
Kemelut prestasi ratu skuasy negara, Datuk Nicol David, mungkin lebih mendalam daripada sekadar dibelenggu masalah fizikal.

Dengan elemen psikologi dan emosi disebut sebagai antara faktor yang memberi kesan kepada ikon skuasy negara ini, mungkin sudah tiba masanya Nicol kembali ke tanah air.

Prestasi Nicol dan seorang lagi ikon, Datuk Lee Chong Wei, akan sentiasa meniti di bibir peminat sukan tanah air.

Di sebalik sanjungan, peminat tetap bimbang dengan perkembangan Nicol susulan satu lagi kekalahan dengan terkandas dalam suku akhir Terbuka Amerika Syarikat (AS), baru-baru ini.

Malah, kali terakhir Nicol mengecapi nikmat juara adalah di Terbuka Hong Kong, Disember tahun lalu -- tiga bulan selepas kehilangan takhta sebagai pemain skuasy nombor satu dunia.

Seperti Chong Wei yang dibantu dua jurulatih, ada manfaat buat Nicol jika memiliki pandangan pakar tambahan di samping mentornya dari Australia, Liz Irving.

"Kemungkinan ada perlunya membawa seorang jurulatih baharu untuk membantu menutup kelemahan kecil Nicol ketika ini," kata bekas pemain nombor satu negara, Sharon Wee.

Sharon, yang juga sahabat karib Nicol, lebih arif dalam menawarkan pandangan agar jaguh skuasy negara itu kembali dan mengikuti program latihan di tanah air.

Kehadiran keluarga dan rakan serta persekitaran berbeza di Malaysia selepas berkelana di Amsterdam, Belanda hampir 14 tahun berupaya menyuntik inspirasi buat Nicol untuk kembali bangkit.

"Aspek mental dan emosi perlu jadi fokus utama untuk membantu Nicol kerana dia tidak berdepan masalah dari segi fizikal dan teknik.

"Ini kerana jika seseorang itu tidak mempunyai inspirasi untuk berjaya, sebaik mana program yang dipersiapkan untuknya juga tidak akan berjaya.

"Secara peribadi saya katakan, Nicol, kembalilah ke Malaysia. Mungkin untuk tempoh tiga hingga enam bulan dia mampu kembali menjadi pemain nombor satu dunia," tambahnya.

Dalam aksi Terbuka AS di Philadelphia Khamis lalu, Nicol tewas kepada pemain Mesir, Raneem El Welily, pada peringkat suku akhir. 

Nicol -- pemain nombor tiga dunia dan juara tiga kali kejohanan -- berhempas-pulas hampir satu jam sebelum tunduk kepada pemain pilihan kelima kejohanan itu, 11-8, 8-11, 10-12 dan 9-11.

Nicol pernah menikmati tiga gelaran berturut-turut kejohanan itu bermula pada 2012, sebelum dirampas pemain England, Laura Massaro, tahun lalu.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen