Presiden Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF) yang juga bekas atlet kebangsaan, Rachel Lau, menafikan andaian bahawa berlaku pergolakan dalaman dalam badan induk itu.

Rachel, bagaimanapun, menegaskan pintu rundingan bagi penyelesaian isu berbangkit sentiasa terbuka bagi memastikan kebajikan atlet-atlet negara menjadi keutamaan.

"Tiada undi tidak percaya dalam penubuhan MGF. Ia sudah pun disahkan oleh komisioner sukan minggu lalu dalam pertemuan kami.

"Jadi sebarang usaha untuk menggerak ke arah itu adalah salah, tidak sah dan tidak bertanggungjawab.

"Kepada pengkritik saya, sila patuhi perlembagaan dan bertindak dengan sewajarnya.

"Kepada pihak yang cuba memberi tekanan agar saya meletakkan jawatan, saya tidak terancam dan tidak akan disingkirkan oleh sesiapa," katanya ketika dihubungi wartawan Astro Arena, Bazly Azmi, hari ini.