Presiden Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Datuk Ayub Rahmat, mengambil tindakan drastik menggantung skuad negara selama setahun daripada menyertai sebarang kejohanan antarabangsa, termasuk Sukan Asia Indonesia 2018 pada Ogos depan dalam usaha membersihkan skandal doping yang melanda sukan itu.

PABM terpaksa mengambil tindakan drastik itu dengan menggantung penyertaan skuad negara berkuatkuasa serta-merta susulan empat kes doping setakat tahun ini, termasuk membabitkan atlet remaja berusia 16 tahun.

Penggantungan itu bermakna kedua-dua pemenang pingat emas Sukan Komanwel 2018, Azroy Hazal Wafie Ahmad Izhar dan Aznil Bidin, terpaksa melupakan misi mengekalkan momentuom di Indonesia, Ogos depan.

"Kami mengharapkan ketegasan terhadap keputusan ini akan memberi isyarat yang cukup jelas buat Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa (IWF) bahawa PABM bertanggungjawab dan amat sensitif dengan kes-kes doping yang berlaku," kata Ayub.

"Saya rasa ia satu langkah yang betul untuk menyedarkan semua atlet tentang kesilapan doping itu. Jika ia tidak dilakukan, ia tidak akan memberikan kesedaran kerana kerap berlaku," tambah bekas atlet angkat berat negara, Amirul Hamizan Ibrahim.

Bagaimanapun, PABM tetap meneruskan penyertaan atlet dalam Sukan Malaysia (SUKMA) di Perak tetapi semua atlet angkat berat peringkat negeri perlu mendapatkan sijil bebas doping daripada Agensi Anti Doping Malaysia (ADAMAS) untuk menyertai temasya pada September depan itu.