Ketua pasukan kriket Nepal, Paras Khadka, menyatakan sokongan terhadap kempen menyselamatkan Kinrara Oval walaupun pasukannya akan berdepan Malaysia dalam aksi ketiga kelayakan Piala Dunia Kriket T20 Zon B Asia, esok.

Nasib Kinrara Oval mendapat perhatian pasukan luar negara selepas diberi notis pengosongannya sehingga 31 Oktober ini.

Beberapa pemain menyatakan sokongan menerusi laman sosial, termasuk kapten Nepal itu.

Apa yang mereka harapkan, campur tangan kerajaan Malaysia bagi menyelamatkan salah satu venue kriket terbaik Asia.

"Saya berkawan baik dengan pemain Malaysia dan saya berpendapat mereka haruslah bersatu hati untuk mempertahankan Kinrara Oval.

"Saya juga ada bercakap dengan Ppresiden Persatuan Kriket Malaysia (MCA), Mahinda Vallipuram, dan mereka turut menyatakan kebimbangan.

"Saya harap pemain Malaysia dan mereka yang menggunakan gelanggang ini dapat bersama-sama menyatakan pendirian.

"Ada sesetengah perkara yang melangkaui kemampuan kita tetapi bagi kami yang mempunyai kaitan dengan sukan kriket, amat penting buat kami untuk berjuang demi kebaikan sukan ini," kata Khadka.

Sementara itu, skuad negara mahu mencipta kejutan ke atas Nepal selaku pilihan utama dalam misi raih sekurang-kurangnya tiga tangga terbaik bagi memburu tiket Piala Dunia.

"Peluang kami dalam perlawanan ini adalah seimbang.

"Nepal tidak boleh menjangkakan kemenangan mudah, setiap pasukan berpeluang untuk menang.

"Siapa yang bermain bagus akan menang pada hari tersebut," kata ketua pasukan negara, Ahmad Faiz Mohammad Noor.